Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my
Statistik menunjukkan 80 peratus daripada sejumlah 3,000 ekor harimau Malaya di Malaysia akan pupus dalam tempoh 50 tahun lagi. Apakah Rancangan Tindakan Harimau Kebangsaan dapat menyekat kepupusan itu dengan tambahan 1,000 ekor harimau menjelang tahun 2020?
SEPARUH abad yang lalu, bilangan harimau Malaya khabarnya semakin berkurangan di Malaysia. Bilangan yang dicatatkan ketika itu adalah 3,000 ekor tetapi kini yang tinggal hanya 500 ekor. Anggaran yang dikeluarkan pada tahun 1990-an itu membangkitkan pelbagai persoalan.
"Kemungkinan hanya 200 ekor yang masih selamat daripada peluru pemburu, kegiatan pembangunan dan sektor pertanian serta pertembungan dengan manusia. Ia sering berakhir dengan pembunuhan tanpa catatan rekod rasmi," kata Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah.
Aktiviti perhutanan dan menggondolkan kawasan tanah tinggi secara haram memaksa haiwan yang hidup bersendirian itu keluar dari habitat mereka.
Kesempitan ruang hidup dan ketiadaan bekalan makanan seperti babi hutan, rusa sambar dan kijang turut memaksa sebilangan kecil harimau mencari makanan di kawasan perumahan dan jalan raya tanpa menyedari risiko yang menanti.
Selama empat tahun sejak tahun 1999, negeri Terengganu melaporkan sebanyak 309 kawanan lembu telah mati diserang harimau.
Antara tahun 1979 hingga 2006 pula, sebanyak 31 orang dipercayai dicederakan oleh haiwan yang sama dan 15 daripada mangsa itu meninggal dunia.
Melihat trend peningkatan kes harimau menyerang penduduk setempat sejak tahun 1991, agensi dan pegawai kerajaan telah mengambil langkah drastik bagi membendung penularan isu itu dengan menembak mati 13 ekor harimau Malaya dan 22 lagi dihantar ke Zoo Melaka serta Zoo Taiping.
Ternyata, apa yang terlepas pandang setiap kali kes sebegini dilaporkan dalam media massa ialah punca atau faktor yang mencetuskan keadaan itu berulang.
|
ZOO Negara pernah berjaya menghasilkan anak harimau beberapa tahun lalu.
|
"Perbuatan memasang perangkap dan memindahkan haiwan tersebut ke kandang bukanlah satu tindakan bijak kerana dalam jangka masa panjang, ia sama sekali tidak menangani konflik sebenar.
"Salah satu unsur penggalak kepada kewujudan masalah itu adalah ketidakseimbangan atau pengurusan tanah yang tidak betul serta pemburuan harimau untuk dijual di restoran yang semakin berleluasa," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia), Datuk Dr. Dionysius Sharma.
Pegawai Kanan Konservasi, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Kanitha Krishnasamy pula memberi satu perspektif ringkas bagi menggambarkan kesan fragmentasi alam atau hutan secara tepat.
Menurutnya, pada kurun ke-19, hutan hujan tropika meliputi hampir 90 peratus di seluruh Semenanjung Malaysia. Menjelang tahun 1957, kawasan yang diliputi hutan berkurangan kepada 74 peratus dan kebanyakan kawasan tanah rendah telah ditukar statusnya bagi menggiatkan sektor pertanian. Semakin lama semakin kurang kawasan liputan hutan, misalnya pada tahun 1970-an, hanya tinggal 61 peratus manakala hanya terdapat 47 peratus hutan pada tahun 1980-an.
"Dalam setahun, kita kehilangan kira-kira 7,000 kilometer persegi kawasan hutan asli," jelas Kanitha yang menambah selain harimau, habitat dan kitaran makanannya juga perlu dilindungi.
|
GAMBAR harimau Malaya yang dipamerkan di Zoo Negara.
|
Populasi harimau sememangnya bergantung kepada limpahan makanan yang mudah diperoleh, di samping berkelana secara bebas tanpa gangguan. Namun malangnya spesies harimau tetap menjadi sasaran bagi memenuhi kerakusan dan sikap manusia yang tamak mengejar keuntungan besar.
Dalam satu kes yang dilaporkan pada awal bulan ini, beberapa ekor harimau yang telah dikerat diseludup ke Thailand. Dikhuatiri haiwan itu berasal dari Malaysia dan sedang dalam perjalanan ke negara China untuk dihidangkan di meja-meja restoran.
Seekor harimau hidup tidak pernah meraih harga yang tinggi di pasaran iaitu hanya dalam lingkungan RM4,000 seekor tetapi harimau yang dibunuh mampu diperdagangkan di pasaran gelap sehingga RM135,288 seekor.
Pada tahun 2006, sebuah Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) mendedahkan bahawa pemburuan dan perdagangan harimau Malaya di Malaysia melebihi 200 ekor dan dijual dalam tempoh tiga tahun (2004 hingga 2006).
Walaupun harimau Malaya telah diwartakan dan dilindungi di bawah undang-undang Malaysia sejak tahun 1970-an, namun masalah berbangkit seperti penguatkuasaan yang lemah tetap timbul.
|
SEEKOR daripada dua harimau Malaya yang dijumpai di sebuah pangsapuri di Thailand sebelum dihantar ke China untuk dijadikan ubat tradisional.
|
Melihat penyusutan bilangannya yang drastik, Rancangan Tindakan Harimau Kebangsaan (TAP) dilancarkan pada hujung tahun lalu setelah mengadakan perjumpaan pada bulan Oktober 2006. Pelan induk itu adalah hasil usaha sama Gabungan Perlindungan Harimau Malaysia (MYCAT) yang terdiri daripada Persatuan Pencinta Alam (MNS), Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF), TRAFFIC dan Persatuan Perlindungan Hidupan Liar (WCS).
Diluluskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, empat langkah telah diatur untuk dilaksanakan sejak awal tahun 2008. Antara pengelasan yang dirangka adalah melindungi pusat hutan hujan tropika utama, menyediakan program perlindungan yang efektif dan berpanjangan, mempromosikan dan mempraktikkan penggunaan tanah yang mesra ekologi serta mengaplikasikan sains dalam pengawasan aktiviti perlindungan harimau Malaya.
|
SEBUAH perangkap harimau dipasang di Jeli, Kelantan beberapa tahun lalu setelah penduduk mendengar ngauman haiwan tersebut.
|
"Di bawah langkah pertama, lokasi-lokasi yang dikenal pasti merangkumi landskap hutan hujan tropika yang diiktiraf oleh badan antarabangsa dan melindungi kawasan itu daripada pencerobohan.
"Usaha perlindungan harus mencakupi koridor masuk dari semua arah dan bukannya dikawal selia secara individu. Kawasan-kawasan hutan itu tidak hanya dikategorikan sebagai sensitif tetapi amat penting diawasi bagi menambah bilangan harimau Malaya dalam persekitaran semula jadi," ujar Kanitha lagi.
Seorang jurucakap WWF, Sara Sukor pula berkata, sebaik sahaja langkah pertama dilaksanakan, aktiviti perlindungan yang spesifik seperti penjaga hutan dan pos kawalan akan disediakan bagi mengelakkan pemburuan haram. "Perlindungan ke atas Hutan Simpanan Tetap sangat mustahak dan kritikal kerana ia merangkumi 85 peratus daripada habitat harimau di Malaysia."
Kedua-dua organisasi MNS dan WWF juga bersetuju bahawa langkah ketiga dan keempat memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk jalinan persefahaman antara kerajaan tempatan dan persekutuan. Selain itu, ia melibatkan penyelarasan antara Jabatan Pembangunan Bandar, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pengurusan pertanian dan hutan dan sebagainya.
Sementara itu, pengendali zoo di negara ini juga tidak ketinggalan menyumbang kepada usaha melindungi harimau Malaya dan TAP. Bervisikan pembiakan haiwan yang berkelas dunia, zoo terbesar di negara ini telah mengambil beberapa langkah positif bagi menggalakkan pertumbuhan populasi harimau Malaya.
|
STRUKTUR tulang harimau yang diawet di Zoo Negara.
|
Di Zoo Negara di Hulu Klang, sebanyak tiga ekor harimau Malaya disimpan dan dipantau keadaannya dari semasa ke semasa. Tiga harimau yang dinamakan Cathy, Zana dan Pacing itu disediakan kawasan berkeliaran yang besar dan diubahsuai agar serupa dengan habitat liarnya di hutan.
"Kemudahan bagi haiwan itu diselenggara agar ia menepati habitatnya sambil menggalakkan pembiakan yang sihat," ujar Dr. Mohamad yang menambah harimau di zoo dilatih supaya mengadaptasi dengan kehidupan di hutan agar tidak 'terkejut' apabila dibebaskan nanti. Antaranya ialah cara mencari makanan.
Sebelum ini Zoo Negara pernah menghasilkan anak harimau yang dikongsi antara zoo tempatan, Hong Kong dan Jerman.
Bagaimanapun, beliau enggan mendapatkan harimau dari habitat liar kerana bimbang terhadap tekanan yang bakal dihadapinya apabila dimasukkan ke dalam zoo.
Dr. Mohamad berhasrat untuk menaikkan lagi ketinggian pagar di kandang harimau Malaya di Zoo Negara, terutama di sebelah pengunjung, selain menambah baik sistem takungan air di tasik dan membina tempat pemerhatian yang berhadapan dengan kandang harimau Malaya.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap konservasi harimau, Dr. Mohamad menunjukkan kepada Kosmo! koleksi haiwan yang diawet di sebuah bilik khas di hospital veterinar. Spesimen dan tulang-tulang haiwan itu tidak pernah dipamerkan kepada khalayak ramai. Rahsia itu tersimpan selama 25 tahun
Mengapa? "Semuanya kerana kesempitan kewangan dan tiada bilik khas untuk disusun rapi. Terdapat juga struktur tulang harimau yang lengkap dan boleh digunakan sebagai medium pengajaran dan pendidikan kepada orang awam," jelasnya sambil menunjukkan bahagian badan haiwan seperti monyet, burung, rusa, singa dan gajah yang telah diawet.